Followers

Wednesday, February 26, 2014

Trimester Ketiga Dan Bengkak Kaki!

Bangun tidur hari ini terasa kaki sangat berat dan kawasan pergelangan kaki bengkak sedikit. Haha inilah akibatnya tertidur dalam posisi duduk kat sofa semasa layan si kakak yang bangun jam 4 malam tadi..terlelap pulak kat situ sampai Subuh maknanya darah dah berkumpul kat kawasan pergelangan kaki dan jari..kalau lagi lama betis pun boleh jadi keras. Dan keadaan ini jugak menyebabkan saya tak dapat nak join lawatan pejabat ke Putrajaya..sorry ya kawan-kawan!
Apa yang saya buat untuk surutkan? Hari ni hari bekerja, jadi ler kura-kura jalan perlahan daripada biasa dan teruskan hari bekerja macam biasa supaya banyak pergerakan kaki. Semasa duduk letakkan kaki atas kotak. Bab makan pula kena kurangkan garam supaya badan tak menyimpan cecair lebih banyak. Tapi amalan minum air 8 gelas sehari perlu seperti biasa. Bengkak biasanya akan surut sendiri. Mari kawan-kawan yang lain kalau nak tahu lebih lanjut boleh baca info yang lebih kemas dari babycentre ini:


Mengapa buku lali dan jari kaki saya bengkak?

Apa yang anda alami ini dipanggil oedema, iaitu keadaan di mana badan anda menyimpan terlalu banyak cecair. Ia berlaku akibat terdapatnya darah berlebihan dalam badan anda kerana anda hamil.

Apabila bayi anda semakin membesar, uterus (rahim) anda memberi tekanan kepada saluran darah di pelvis. Ini khususnya menjejaskan salur darah besar yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah. Salur darah yang dipanggil vena kava bawah ini terletak pada bahagian kanan badan. Tekanan yang diterimanya menyebabkan peredaran darah di bahagian itu menjadi perlahan dan mengakibatkan darah terkumpul.

Tekanan daripada darah yang terkumpul ini memaksa air turun dan keluar melalui salur darah kecil (kapilari) masuk ke dalam tisu-tisu pada tapak kaki dan buku lali. Biasanya, air ini akan diserap oleh badan. Kadang kala, wanita hamil juga menyimpan lebih banyak air daripada biasa, dan ini menambahkan lagi kebengkakan.

Anda mungkin mendapati kebengkakan ini lebih teruk pada waktu petang dan malam, dan lega sedikit pada waktu pagi setelah anda tidur sepanjang malam. Menjelang petang, anda mungkin dapat lihat jika anda tekan kulit di sekitar buku lali, kulit itu tidak menganjal dan serta-merta kembali kepada keadaan asalnya. Menjelang penghujung kehamilan, tangan anda juga mungkin menjadi bengkak dan cincin yang anda pakai akan terasa ketat.

Malangnya, oedema semasa hamil adalah perkara biasa, terutamanya dalam trimester ketiga. Di antara 50 dan 80 peratus wanita hamil yang sihat akan mengalaminya. Cuaca panas seperti di negara kita juga memburukkan lagi keadaan ini.

Walau bagaimanapun, jika anda mengalami bengkak yang teruk pada muka, tangan atau tapak kaki, jumpalah doktor anda. Ini mungkin salah satu tanda pra-eklampsia, iaitu satu keadaan yang serius bagi anda dan bayi.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan bengkak?

Ubat-ubatan jenis diuretik tidak sesuai digunakan semasa hamil. Ubat-ubatan jenis ini membuatkan buah pinggang mengeluarkan air dan sodium supaya anda kerap membuang air dan menghapuskan cecair yang berlebihan dengan cara itu. Anda boleh mencuba cara-cara lain untuk mengawal kebengkakan:

Naikkan kaki bila-bila anda boleh, untuk membantu melancarkan peredaran darah. Jika di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak di bawah meja anda. Di rumah pula, cubalah baring mengiring ke kiri, kerana ini boleh mengurangkan tekanan pada vena kava bawah.
Elakkan duduk atau berdiri terlalu lama tanpa berehat. Dan jangan cuba menyilang kaki semasa duduk.
Pakailah seluar stoking sokongan (support tights) sebelum anda bangun dari katil pada waktu pagi supaya darah tidak berpeluang berkumpul di sekeliling buku lali. Jika ini tidak berjaya, tanyalah ahli farmasi atau doktor mengenai stoking tekanan (compression stockings).
Minum banyak air. Yang peliknya, mengekalkan hidrasi dapat membantu badan anda mengurangkan penyimpanan air berlebihan.
Bersenam selalu, terutamanya berjalan, berenang, atau dengan menggunakan basikal senaman.
Jika anda membuat perjalanan jauh, berhentilah dengan kerap untuk meregangkan kaki.
Makan makanan berkhasiat, dan elakkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan garam seperti kacang masin, jeruk sayuran, telur masin dan ikan kering.
Jika kulit anda tidak terlalu tegang dan sakit, anda boleh minta seseorang untuk mengurut buku lali dan tapak kaki anda, hingga ke lutut. Ini boleh membantu mengalihkan cecair keluar daripada tapak kaki.
Ingatlah, walaupun buku lali anda yang bengkak ini mungkin tidak menyelesakan, keadaan ini adalah sementara sahaja. Ia akan hilang sejurus anda melahirkan.
Semakan terakhir: April 2012

Sumber : http://www.babycenter.com.my/a1042750/bengkak-pada-tangan-dan-kaki-oedema